Apa yang ingin anda masak hari ini?
Apa yang ingin anda masak hari ini?
Negeri Kelantan yang diberi jolokan sebagai Serambi Mekah selalu dipandang sebagai negeri miskin dan mundur oleh kebanyakan orang. Penerapan dan penekanan kehidupan bersyariah Islam membuatkan ramai juga beranggapan negeri itu tidak sesuai untuk dijadikan tempat berhibur.
Bagi sesetengah orang, Kelantan tiada tempat-tempat menarik kalau nak melancong ke sana. Yang nampak cuma budu, Pasar Siti Khadijah, Wakaf Che Yeh dan tempat-tempat membeli belah yang murah.
Namun, kini jika anda pulang bercuti dan melancong ke Kelantan, sila masukkan Hedwig Books and Cafe ke dalam senarai tempat yang akan anda lawati. Pernah dengar nama tersebut? Mungkin ada yang sudah dengar tapi ramai juga yang terpinga-pinga bila ditanya tentang kafe itu.
Bagi saya, itulah antara tempat hipster di Kelantan. Kafe yang berkonsepkan baca buku sambil bersantai menikmati juadah istimewa adalah kafe pertama dibuka di Malaysia bertemakan Harry Potter. Ia terletak di Kubang Kerian dan baru saja memulakan operasi sekitar bulan Oktober yang lalu.
Bagi peminat tegar Harry Potter, anda tidak boleh melepaskan peluang untuk datang ke kafe tersebut. Berkonsepkan book cafe, ia turut menyediakan minuman-minuman yang memenuhi citarasa penggemar hidangan hipster. Pelbagai aneka kopi juga turut disediakan.
Menu lain yang boleh didapati juga termasuklah kek dan hidangan pastri. Antara juadah istimewa yang terdapat di kafe tersebut adalah White Macadamia Cake & Nutella Cheese Cake. Menariknya lagi, sambil bersantap anda boleh melakukan aktiviti lain seperti membaca buku dan novel yang disediakan serta mewarna.
Jangan terkejut, aktiviti mewarna bukan hanya untuk kanak-kanak. Untuk pengetahuan anda juga, lebih 1000 buah buku pelbagai genre turut dijadikan sebagai bahan pinjaman dengan kadar bayaran mengikut jenis buku.
Selain makan dan membaca, pastinya pengunjung tidak boleh melepaskan peluang bergambar dan bergaya acah-acah filem fantasi Harry Potter. Nak pergi luar negara semata-mata untuk melawat kafe yang bertemakan Harry Potter mungkin tidak berbaloi harganya. Jadi pastikan anda merasai pengalaman berada dalam dunia Harry Potter di Kelantan.
Teks: Nor Fatin Amira Salleh