Apa yang ingin anda masak hari ini?
Apa yang ingin anda masak hari ini?
Setiap masakan yang sedap dan menyelerakan pasti mempunyai resepi istimewanya yang tersendiri. Sama ada dari segi rempah ratusnya, herbanya, ataupun cara masakan sajian tersebut.
Dalam masakan, tak kira di negara Asia mahupun Eropah, halia sering kali digunakan sebagai penambah rasa dan pembuka selera. Makanan yang dikategorikan sebagai herba ini barangkali adalah kunci keenakan masakan chef-chef antarabangsa. Selain penyedap rasa dan berbau harum, mungkin kita terlepas pandang tentang kelebihan dan manfaat lain mengenai halia.
Sinonimnya, halia kaya dengan kandungan kalium, fosforus, dan kalsium tenaga selain protein, karbohidrat, gentian, vitamin C, dan niasin. Manfaat lain yang saya akan senaraikan ini pasti membuka mata anda.
1. Bunuh Sel Kanser
Seperti yang kita tahu, kanser adalah satu penyakit yang ditakuti oleh semua orang. Hal ini adalah kerana peratusan mereka yang berjaya melawan kanser lebih sedikit berbanding mereka yang mati kerananya. Berita BBC merekodkan kajian daripada Universiti Michigan di Amerika menemui khasiat serbuk halia dalam penyelidikan terhadap sel kanser ovari. Hasil kajian menunjukkan minyak volatile yang terkandung dalam halia menyebabkan sel kanser mati. Walaupun ia masih memerlukan kajian yang lebih mendalam, penemuan ini memberi harapan yang cerah kepada dunia perubatan.
2. Mengurangkan Risiko Strok
Lemak yang melekat pada dinding arteri boleh mendedahkan manusia kepada strok. Justeru, pengambilan halia secara berterusan tetapi pada kuantiti yang sedikit mampu menghindarkan kita daripada risiko tersebut.
3. Menurunkan Berat Badan
Jangan tak tahu, teh halia boleh dimasukkan dalam senarai minuman diet. Ia membantu menurunkan berat badan kerana kadar metabolisme dapat ditingkatkan. Selain itu, toksin daripada badan dapat dikeluarkan dan peredaran darah semakin lancar.
4. Agen Penyingkiran Angin Badan Semulajadi
Angin badan seringkali membuatkan kita rasa tak sedap badan. Daripada masalah itu, timbullah pelbagai produk yang dikatakan mampu mengeluarkan angin badan dan merawat kembung perut. Kebanyakannya menggunakan sumber daripada halia. Tak salah untuk mendapatkan produk tersebut di pasaran dan tentunya lebih cepat dan mudah. Namun, bagi mereka yang mahukan ubat yang lebih bersifat organik, apa kata gunakan halia yang sudah sedia ada di dapur anda. Lebih jimat dan fresh, bukan?
Selain daripada senarai di atas, halia juga mampu mengubati penyakit sendi, cirit-birit, kekurangan tenaga, pening kepala, dan demam panas. Terlalu banyak khasiat bahan-bahan herba semulajadi ini jikalau dikaji.
Selongkar sahaja dapur, herba-herba tersebut kemungkinan adalah penawar yang anda cari sebelum ini.
Teks: Syazana Syamsul