Blog

Makanan Tradisi dan Sedap Mengikut Negeri di Malaysia Yang Patut Anda Cuba

Terengganu

Cuba bayangkan anda dihidangkan dengan sepinggan Nasi Dagang berlaukkan kari ikan tongkol dan kuah banjir. Pasti kecur air liur dan tidak sabar-sabar lagi mahu menikmatinya.

Nasi Dagang adalah satu contoh makanan tradisi dari Terengganu. Selain daripada Nasi Dagang yang berasal daripada Terengganu, saya akan kongsikan juga beberapa jenis makanan tradisi lain yang sedap dari setiap negeri di Malaysia.

Kelantan

Negeri Pantai Timur adalah antara negeri yang paling kaya dengan makanan tradisi. Kalau Terengganu terkenal dengan Nasi Dagang resepi turun temurunnya, Kelantan pula tidak kurang hebat dengan sajian Nasi Kerabu dimakan bersama budu.

Pahang

Manakala makanan tradisi Pahang pula tidak lain tidak bukan, ikan patin masak tempoyak. Kalau dapat mertua orang Pahang, bolehlah belajar resepi tradisi mereka untuk mengikat kasih sayang keluarga.

Pulau Pinang

Kita tinjau pula masakan tradisi negeri-negeri di utara. Pasti anda semua peminat Laksa Penang kan? Itulah masakan tradisi Pulau Pinang yang juga popular dengan sajian pasembor mereka.

Kedah

Di negeri jelapang padi pula, Gulai Batang Pisang cukup terkenal terutama di kawasan kampung.

Perlis

Selain itu, Emping ataupun juga dipanggil Ringgi diperbuat daripada padi muda yang masih hijau dan dipanggang adalah masakan tradisi Perlis.

Istimewanya, ia hanya boleh dijumpai ketika musim timur melanda. Di Perak, makan tengahari akan bertambah sedap dengan hidangan sajian tradisi Rendang Tok yang mencampurkan daging dengan ramuan rempah ratus herba.

Selangor

Di Selangor, banyak juga masakannnya yang terpengaruh dengan gaya orang Jawa. Antara makanan tradisi di situ adalah Nasi Ambeng. Sate Kajang juga merupakan antara yang masyur di Selangor.

Johor

Kalau singgah ke Johor, sudah tentu terbayang masakan tradisinya yang popular iaitu Mi Bandung Muar. Bak kata rakyat Johor, rasa Mi Bandung yang kaya dengan seafood sangat berbeza dengan Mi Bandung negeri lain.

Melaka

Di Melaka pula tidak dapat dipisahkan dengan makanan tradisinya iaitu cencaluk. Udang geragau yang digunakan di dalam cencaluk sebagai hidangan tradisi, menjadikan cencaluk kaya dengan protien.

Negeri Sembilan

Di Negeri Sembilan pula terkenal dengan “Masok Lomak Lado Api” sebagai sajian tradisinya. Cukup pedas dan lemak rasanya.

Perbezaan gaya hidup yang mencambahkan pelbagai jenis masakan merupakan satu keindahan yang ada di Malaysia. Merantaulah ke seluruh pelusuk negeri-negeri kita, anda akan temui makanan tradisi yang pelbagai. Semuanya mempunyai keunikan dan rasa istimewanya yang tersendiri.

Teks: Syazana Syamsul

Foto: FriedChillies