Apa yang ingin anda masak hari ini?
Apa yang ingin anda masak hari ini?
Mungkin ramai yang mengetahui penggunaan daun kesum atau nama Inggerisnya Vietnamese Coriander adalah sebagai tambahan rasa dalam masakan. Orang Malaysia terutamanya, kalau sebut daun kesum mesti terus teringat pada laksa dan asam pedas. Ya, itu kerana ia adalah masakan yang sangat sinonim dengan bahan tersebut.
Aromanya yang cukup wangi menambah lagi kesedapan dalam setiap masakan. Namun, ramai yang tidak menyedari sebenarnya daun kesum tidak hanya berguna sebagai penambah rencah dalam masakan. Bahkan ia turut berfungsi sebagai agen kesihatan dan penjagaan badan.
Antara khasiat pemakanan yang terdapat pada daun tersebut adalah mengandungi vitamin A dan C dan juga bahan galian seperti kalium, kalsium, dan fosforus.
Secara tradisional, daun kesum juga boleh digunakan untuk melancarkan sistem penghadaman. Air rebusannya boleh diminum dan dikatakan mujarab bagi mereka yang menghadapi masalah pencernaan.
Selain daripada itu, ia juga boleh menghilangkan kelemumur. Okay, anda tak payah pening kepala nak guna syampu apa yang boleh merawat kulit kepala yang berkelumumur. Ambil beberapa helai daun kesum, kemudian tumbuk dan ambil air perahannya dicampur dengan sedikit air dan gosok sahaja pada kulit kepala. Mudahkan?
Bagi wanita yang baru bersalin pula, ia juga bagus untuk anda. Ini kerana, ia dapat menaikkan dan menguatkan rahim. Mungkin ini satu alternatif yang baik untuk anda selain daripada menggunakan pelbagai jamu yang ada di kedai-kedai.
Daun kesum juga dapat membantu dalam mengekalkan stamina dan awet muda. Kalau anda sememangnya peminat ulaman, ini semestinya menjadi cara yang mudah untuk mengekalkan stamina dan anda. Makan sahaja daunnya mentah-mentah tanpa dimasak.
Ini sedikit sebanyak khasiat tentang daun kesum yang anda boleh amalkan. Selepas ini, kalau ada lagi lebihan daun kesum daripada masakan asam pedas, jangan biarkan ia kering dalam peti ais. Boleh cuba praktikkan tip-tip tersebut. Selamat mencuba!
Teks: Nor Fatin Amira Salleh.