Blog

Baru Berusia 5 Tahun Sudah Pakai Cermin Mata. Ini Puncanya!

Pasti ramai yang terkejut apabila mendengar ataupun melihat si kanak-kanak yang cuma berumur 5 tahun memakai cermin mata. Ya, 5 tahun masih lagi bersekolah di tadika. Masih kecil untuk mengalami masalah penglihatan ataupun secara mudahnya rabun.

Tetapi, itu tidaklah mustahil kerana banyak faktor yang boleh menyebabkan rabun walaupun pada usia muda. Jadi di sini, saya kongsikan punca-punca yang mungkin boleh menyebabkan anda berasa kesal kerana selalu melakukan perkara tersebut.

Antara punca yang boleh saya senaraikan adalah seperti berikut:

1) Pendedahan terhadap gajet terlalu lama.

Sengaja saya meletakkan punca ini sebagai punca pertama. Ini kerana, golongan kanak-kanak pada masa kini sangat terdedah kepada gajet, terutama telefon pintar. Ibu bapa juga seakan-akan tidak menitikberatkan mengenai perkara ini kerana dengan mudah memberi telefon pintar kepada anak-anak.

Barangkali ada yang tidak sedar, pendedahan mata kepada skrin telefon pintar dalam masa yang lama dengan jarak yang dekat boleh menyebabkan mata kabur. Kesannya sama sahaja dengan kesan melihat komputer.

2) Menonton televisyen pada jarak yang dekat.

Situasi yang hampir sama dengan punca pertama. Cahaya daripada televisyen adalah tidak bagus untuk mata kerana radiasinya boleh merosakkan mata. Bukan hanya mata kanak-kanak, tetapi juga orang dewasa.

3) Menonton televisyen dalam keadaan gelap.

Sekiranya kita menonton dalam keadaan persekitaran yang gelap, ia menyebabkan mata kita hanya fokus pada cahaya televisyen tersebut.

4) Kurang makan sayur.

Sebagaimana yang kita tahu, sayur adalah satu kumpulan makanan yang mempunyai banyak khasiat. Justeru, sekiranya anda tidak gemar makan sayur, besar kemungkinan mata anda akan mudah rabun. Ini kerana, sayur mempunyai gizi dan vitamin yang tinggi yang diperlukan mata.

Bagi mengekalkan mata anak anda sihat tanpa rabun, anda boleh amalkan beberapa makanan berikut kepada anak anda. Antara makanan yang baik untuk kesihatan mata adalah:

  • Lobak merah
  • Brokoli
  • Sayur bayam
  • Biji bunga matahari
  • Blueberi
  • Telur dan makanan yang mempunyai sumber vitamin A, vitamin C, vitamin B6, dan vitamin E.

Teks : Nor Fatin Amira Salleh