Apa yang ingin anda masak hari ini?
Apa yang ingin anda masak hari ini?
Apabila kita buntu memikirkan apa yang hendak dimasak ataupun mungkin berasa malas untuk mengambil makanan yang lebih berat seperti nasi, selalunya makanan ringan atau snek yang akan menjadi pilihan tepat.
Kebanyakan makanan ringan atau snek ini diubahsuai dengan dicampurkan bahan pengawet dan perasa. Jadi, makanan dapat disimpan dalam jangka masa yang lebih lama. Namun, apa yang kita tidak tahu adalah snek ini juga mengandungi bahan-bahan yang tidak bagus untuk tubuh badan kita seperti karbohidrat jenis biasa, lemak tepu, dan garam pada kadar yang tinggi.
Di sini kami nyatakan sebab mengapa makanan ini patut dijauhi untuk kesihatan tubuh anda, agar anda tidak salah ketika memilih makanan,
1. Meningkatkan Kadar Kolesterol
Makanan ringan banyak diubah dan digantikan dengan minyak trans dalam proses pembuatannya. Minyak ini mengeluarkan lemak membentuk pepejal yang padat dan secara tersembunyi akan meningkatkan ‘kolesterol jahat’ di dalam tubuh dan menyebabkan anda mudah terdedah kepada penyakit jantung. Mengapa? Ini kerana, saluran di bahagian jantung terhalang dengan lemak trans ini secara perlahan-lahan tanpa kita sedar.
2. Diabetes
Jika anda perasan, pelbagai kempen yang sudah dilaksanakan. Antaranya, kempen mencegah pengambilan gula secara berlebihan. Makanan ringan banyak menggunakan pemanis seperti gula. Kebanyakan gula itu adalah gula buatan. Ini menyebabkan tubuh anda lebih berisiko diserang diabetes. Jadi, apa kata kita sama-sama kurangkan manis dalam makanan, lebihkan manis dalam senyuman. Itu pasti lebih baik dan tubuh sentiasa sihat.
3. Obesiti
Kerepek kentang antara makanan ringan yang paling digemari. Namun, jikalau diambil secara berterusan, anda tak akan berasa kenyang dan mungkin mengalami ketagihan.Apa yang bahaya, ia boleh memudaratkan dan mendorong kepada penyakit obesiti. Kami cadangkan, untuk mengawal pemakanan, cuba sibukkan diri kita dengan apa-apa sahaja aktiviti yang sihat.
4. Gangguan pernafasan
Bagi yang ada gangguan pernafasan, anda patut hentikan pengambilan makanan ringan. Kesan daripada obesiti menyebabkan saluran pernafasan menjadi semakin sempit hingga anda sukar untuk bernafas secara normal. Bukan hanya itu, berkemungkinan sakit kepala akan menyerang kerana kandungan perasa tiruan yang banyak menyebabkan tubuh anda mengalami keracunan dalam jangka masa yang singkat.
Apa pun sebabnya, secara tak langsung makanan ringan yang anda ambil berkait rapat dengan kesihatan anda. Untuk menjaga tubuh badan memang agak sukar, ditambah gaya hidup yang semakin urban. Namun, jangan lupa untuk amalkan gaya hidup sihat. Ayuh kita sama-sama pegang slogan, “Sihat sepanjang hayat”.
Teks: Wan Nor Ashikin Binti Wan Mohd