Blog

5 Gerai Keropok Lekor Wajib Singgah di Terengganu

Terengganu, selain terkenal dengan rakyatnya yang penuh adat, ia juga sebuah negeri yang kaya dengan sumber alam. Terengganu sering digelar dengan negeri penyu.

Antara perkara yang cukup terkenal dan sinonim dengan negeri Terengganu tak lain tak bukan tentulah makanan tradisi mereka, iaitu keropok lekor. Keropok lekor diperbuat daripada campuran isi ikan laut, tepung gandum, campuran sagu, dan garam. Kebiasaan keropok lekor di Terengganu berbeza daripada negeri lain kerana kandungan isi ikannya yang banyak. Maklumlah industri perikanan di situ juga pesat dan giat dijalankan.

Sesiapa sahaja yang datang ke negeri penyu ini wajib makan keropok lekor di gerai dalam senarai di bawah ini.

1. Keropok Lekor Bukit Tok Beng (Seberang Takir)

Jika anda sering berkunjung ke Kuala Terengganu, pasti gerai Keropok Lekor Bukit Tok Beng atau juga dikenali dengan Dynar Lekor ini sudah biasa didengar. Gerainya popular dan keropok lekornya sangat sedap tak terkata. Antara yang menjadi tumpuan orang ramai adalah keropok lekor keju. Selain dijual secara bergoreng, rebus, dan sejuk beku, keropok lekor vakum juga turut disediakan.

Istimewanya keropok lekor vakum ini adalah keropoknya lebih tahan lama. Sangat sesuai untuk dibawa pulang ke negeri masing-masing dan digoreng sebelum makan. Jangan terkejut pula jika harus mengambil nombor giliran untuk membeli keropok lekor dek kerana terlalu ramai yang datang membeli terutama ketika musim cuti sekolah.

2. Keropok Lekor Mengabang Tapah (Setiu)

Gerai Keropok Lekor Mengabang Tapah ini terletak di Kampung Pantai Merang, Setiu Terengganu. Gerai ini sangat ramai pengunjung. Bak kata orang makan sekali, pasti nak lagi! Keropok lekor gorengnya sudah siap dipotong pendek-pendek dan senang dimakan. Keropoknya gebu dan padat dengan isi ikan pasti membuatkan anda untuk berkunjung lagi ke sini.

3. Keropok Losong Adik Beradik (Losong Haji Su)

Kalau sebut sahaja Losong, pasti yang tergambar di fikiran adalah keenakan keropok lekornya sehingga ada yang memanggil keropok lekor sebagai keropok losong. Asal usul Losong adalah nama tempat di Kuala Terengganu dan di sepanjang kampung Losong tersebut memang banyak gerai-gerai keropok lekor. Antaranya Keropok Losong Adik Beradik di Kampung Losong Haji Su. Memang sedap.

Lokasi kampung ini yang berdekatan dengan Bandar Kuala Terengganu, Taman Tamadun Islam dan Muzium Negeri Terengganu, menjadikan Keropok Lekor Kampung Losong ini semakin dikenali dalam kalangan warga tempatan dan pelancong dari luar.

4. Keropok Lekor 008 Kelulut (Marang)

Ini lagi satu gerai keropok lekor yang membuatkan anda bermimpi-mimpi dan tidak sabar-sabar lagi untuk menikmatinya. Rasa keropok lekornya memang sedap dan anda perlu rasa sendiri untuk anda gambarkan kesedapannya. Lokasi kedai ini adalah di pantai Kelulut. Kalau anda dari Dungun ke Kuala Terengganu, anda akan jumpa gerai ini di sebelah kiri jalan sebelum sampai ke pekan Marang. Terdapat stesen minyak Caltex di sebelah kedai ini. Senang sahaja lokasinya untuk ditemui.

5. Kak Yah Keropok Lekor

Saya cadangkan lagi tempat menarik yang biasanya menjadi tempat tumpuan orang, iaitu Gerai Keropok Lekor Kak Yah. Sesiapa yang datang berkunjung bolehlah makan keropok lekor di situ. Siap boleh lepak lagi kerana meja makan ada disediakan.

Jika anda ke Terengganu, jalan lepaskan peluang untuk singgah di mana-mana antara lima gerai yang kami cadangkan ini. Kalau anda ada cadangan gerai keropok lekor yang lain, boleh kongsikan kepada kami.

Teks: Syazana Syamsul

Foto: Hungrygowhere.my