Blog

5 Makanan Tradisi Kelantan Yang Tetap Menjadi Pilihan Wajib

Orang kata Kelantan adalah syurga makanan. Makanan mereka manis-manis seperti rakyatnya juga. Di sini saya akan kongsikan lima jenis makanan tradisi rakyat Kelantan yang tetap dicari oleh orang ramai walau di mana mereka berada.

1. Nasi Kerabu

Nasi Kerabu selalunya menjadi pilihan ramai ketika sarapan pagi. Nasi yang pada kebiasaannya berwarna biru dan digaul dengan pelbagai jenis ulaman seperti kacang panjang, timun, kubis dan pelbagai lagi.

Kelapa goreng yang digaul bersama ikan juga turut digaul bersama. Ia enak dimakan bersama pelbagai jenis lauk seperti ikan goreng, ayam goreng, telur masin, dan banyak lagi. Bahan yang paling penting dan wajib ada dalam nasi ini semestinya budu.

2. Akok

Sejenis kuih tradisional yang sangat digemari ramai terutama pada bulan Ramadan. Acuannya yang menggunakan telur yang banyak, santan dan gula melaka adalah rahsia akok ‘moist’.

Apatah lagi bila dibakar menggunakan sabut kelapa. Cara pembakaran secara tradisional begitu lebih memikat selera orang ramai kerana aromanya. Berbanding dibakar menggunakan cara moden.

3. Budu

Kalau Melaka terkenal dengan ‘cencaluk’, Kelantan tak akan ketinggalan dengan budu. Ke mana sahaja anak Kelantan merantau, pastinya budu tidak akan dilupakan ketika waktu makan.

Ikan bilis, yang diperap bersama garam dan gula melaka serta asam jawa selama beberapa bulan adalah bahan untuk membuatnya. Budu sangat sesuai untuk dicicah dengan ulam-ulaman, ikan rebus atau ikan bakar.

4. Laksam

Seperti juga laksa, laksam adalah sejenis makanan yang dimakan bersama kuah ikan bersantan pekat serta digaul dengan ulam-ulaman. Ia diperbuat daripada tepung beras, adunan yang sama seperti laksa.

Laksam juga turut menjadi pilihan masyarakat Kelantan yang dimakan sebagai juadah sarapan pagi selain daripada Nasi Kerabu.

5. Solok Lada

Pastinya enak kalau Solok Lada dimakan bersama Nasi Kerabu. Ia ibarat hidangan lengkap sekiranya ada Solok Lada. Lada besar yang disumbat kelapa yang telah diparut serta digaul dengan beberapa bahan asas seperti ikan dan bawang dan sentiasa menjadi pilihan ramai.

Tidak hanya di Kelantan, bahkan Solok Lada turut dikenali ke serata negara. Tetapi, rasanya tidaklah sama dengan rasa asal terutama di Kelantan.

Itulah sedikit sebanyak makanan tradisi orang Kelantan yang saya boleh kongsikan dengan anda. Semoga resipi tradisi ini akan terus kekal lama walaupun dengan adanya kemunculan pelbagai resipi-resipi baru.

Teks: Nor Fatin Amira Salleh