Blog

Cara Ini akan Membuatkan Anak Anda Makan Sayur

Kehidupan moden hari ini sungguh berbeza dengan kehidupan zaman dahulu. Ibu-ibu hari ini yang bekerjaya terutamanya, lebih gemar menyediakan makanan segera dek kerana kekangan waktu untuk memasak. Perkara ini secara tidak langsung mendedahkan anak kepada makanan-makanan yang kurang berkhasiat.

Namun, ibu mana yang tidak mahukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Rungutan demi rungutan oleh para ibu sering kedengaran tentang anak-anak mereka yang tidak suka makan sayur-sayuran. Ia bukan satu isu yang baru kerana jika dibawa ke meja perbincangan, rata-rata ibu meluahkan mereka tiada jalan keluar bagi menggalakkan anak-anak untuk menyentuh makanan berkhasiat seperti sayur-sayuran.

Ada juga anak-anak yang menjadi anti makanan berwarna hijau kerana tidak suka kepada sayur.

Ya, saya juga akui bukan senang mengajak anak-anak untuk makan sayur terutama anak-anak yang tidak tahu kepentingan khasiat sayur kepada badan mereka. Jangan runsing lagi kerana saya membawakan panduan ringkas yang boleh membantu selesaikan masalah ini. Cubalah.

1. Biasakan sayur-sayuran sejak kecil

Anak-anak yang berumur 2 hingga 6 tahun kebiasaannya suka mengasingkan sayuran di tepi pinggan dan langsung tidak mahu menyentuhnya. Mungkin faktor ini berlaku kerana mereka tidak biasa dengan sayuran tersebut. Ibu-ibu perlu mengambil inisiatif membiasakan anak dengan sayuran sejak daripada kecil.

Contohnya mengisar brokoli dalam bubur si kecil. Jikalau si kecil tidak gemar, cuba gantikan pula lobak merah kisar ke dalam makanan si kecil. Bersabarlah dalam mencari sayur manakah yang boleh diterima oleh si kecil.

Anak-anak yang masih kecil lebih mudah diajar kerana mulut mereka masih belum menerima pelbagai makanan lain. Jika anak sudah mencecah usia 4 tahun baru diajar, ia akan membuatkan proses ini lebih sukar. Bak kata pepatah, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Begitulah juga para ibu dalam memperkenalkan makanan sihat kepada anak-anak.

2. Susun atur sayur secara kreatif ‘Bento’

Panduan ini pasti disukai oleh ibu-ibu yang kreatif. Susun sahaja sayur-sayuran membentuk karakter kartun yang comel, mana tahu ia akan menarik minat si kecil untuk makan. Bagi ibu yang tiada idea untuk menyusun, google sahaja ‘bento’ di Internet, pasti ada yang menarik untuk dicuba.

Contohnya membentuk muka kartun dengan susunan sayur dan mengajak anak untuk makan satu per satu bermula daripada ‘telinga’ kartun, ‘hidung’ kartun, dan seterusnya. Cubalah berjenaka dengan anak supaya mereka menikmati momen indah ketika makan makanan berkhasiat.

3. Mempamerkan budaya makan sayur

Orang putih kata, walk the talk. Ibu yang sering menyuruh anak makan sayur tanpa menunjukkan budaya tersebut akan menyebabkan anak merasakan ia satu arahan. Tidak semua orang mampu menerima arahan.

Apa kata budayakan makan sayur-sayuran di hadapan mereka sehingga mereka merasakan makan sayur sebagai satu benda biasa yang dilakukan oleh semua orang. Sementara menonton televisyen contohnya, elakkan snek ringan tetapi gantikan dengan salad sayur atau salad buah. Mungkin boleh dimakan bersama ais-krim juga. Pasti menarik dan lebih sihat.

4. Menyelitkan ramuan sayur dalam makanan kegemaran

Panduan ini mungkin boleh dipraktikkan dalam kalangan kanak-kanak yang sudah pandai memilih makanan kegemaran mereka. Jangan terlalu mendesak anak untuk makan sayuran kerana paksaan sering kali akan berakhir dengan kebencian.

Gunakan psikologi dalam menghadapi ragam mereka. Jika mereka gemar makan muffin misalnya, mungkin boleh hiaskan muffin dengan hirisan lobak merah secara halus diatasnya.

Belum cuba, belum tahu. Bagi mereka yang inginkan idea untuk masakan si kecil boleh mencuba resipi dalam buku Idea Bekal ke Sekolah. Buku ini memberi anda idea menghias dan mencadangkan beberapa resipi yang sedap, mudah dan berkhasiat untuk bekal anak-anak anda ke sekolah. Buku ini sesuai juga untuk ibu bekerja.

Teks: Syazana Syamsul

Bahaya! Tidak Digalakkan Mengambil Makanan Ini Semasa Haid

Serbuk Halia Mampu Mengelakkan Risiko Kanser Ovari