Blog

Adakah Selama Ini Kita Sudah Masak Sayur Dengan Betul?

Sayur-sayuran sememangnya mempunyai banyak khasiat dan zat-zat yang diperlukan oleh tubuh badan kita. Justeru, pemakanan sayur adalah penting dalam piramid makanan seharian. Tidak dapat dinafikan penggemar sayur-sayuran adalah orang yang bertuah kerana ramai yang tidak menyukainya.

Jadi, jika anda penggemar sayuran, beruntunglah sebab anda berpotensi tinggi untuk tidak mengalami penyakit-penyakit berbahaya memandangkan sayur mempunyai banyak khasiat. Itu secara logik dan perkiraan ilmu pemakanan kesihatan.

Namun, ada juga orang yang suka makan sayur tetapi badan masih juga lemah-lemah dan seperti kekurangan zat. Apa lagi kurangnya?

Sayur tidak berkhasiatkah? Ya, boleh jadi juga. Ini kerana sayur yang kita makan juga boleh hilang khasiatnya jikalau tidak kena cara.

Sebab itu, kita kena tahu bagaimana untuk mengetahui sama ada sayur yang dimakan mempunyai khasiat ataupun tidak. Macam mana untuk mengetahui? Di sini saya akan kongsikan tip-tip memilih sayur yang segar dan tidak hilang khasiatnya bila dimasak.

Antara tip penting yang boleh diamalkan adalah seperti berikut:

1. Pilih sayur yang warnanya masih cerah dan tidak kusam. Jangan pilih sayur yang daunnya sudah kekuningan. Jika daunnya berlubang dimakan ulat, ia adalah baik kerana ia menunjukkan pestisid (racun serangga) kurang digunakan pada sayur tersebut.


2. Jika sayuran jenis kekacang, pastikan cerah juga warnanya dan rapuh apabila dipatahkan.


3. Jangan simpan sayur terlalu lama di dalam peti. Walaupun kelihatan masih segar di dalam peti, namun khasiatnya semakin berkurang.

4. Elakkan merendam dan membasuh sayur terlalu lama. Ini kerana khasiatnya akan mudah larut dalam air terutama sekali vitamin B dan vitamin C.

5. Jangan masak sayur terlalu lama. Ramai juga yang sering memasak sayur dengan mengambil masa yang lama. Ada yang berpendapat ia adalah untuk menghapuskan kuman-kuman yang ada. Namun ternyata ia adalah salah. Ini kerana semakin lama sayur dimasak, khasiatnya juga turut hilang.

6. Masak sayur dengan masakan yang sesuai mengikut jenisnya. Mungkin ramai yang tidak tahu cara ini. Dapat sayur terus main masak sahaja tanpa mengkaji cara masakan yang betul untuk mengekalkan khasiatnya.

Saya bagi contoh untuk anda lebih memahami kaedahnya dengan betul. Tomato sebagai contoh apabila dimasak, antioksidannya akan diaktifkan tetapi sekiranya dibuat jus, nutrisinya akan terjejas.

Berbeza pula dengan kubis yang akan kehilangan antioksidan jika direbus. Lain sayur, lain cara masaknya. Itulah yang kena dipelajari lagi.

Sekadar itu sahaja perkongsian daripada saya. Semoga selepas ini kita akan mendapat lebih banyak khasiat dengan sayur.

Teks: Nor Fatin Amira Salleh

5 Makanan Tradisi Kelantan Yang Tetap Menjadi Pilihan Wajib

Bahaya! Tidak Digalakkan Mengambil Makanan Ini Semasa Haid