Blog

5 Pantang Larang di Dapur Yang Selalu Dipesan Orang Tua-Tua

Orang Melayu sangat terkenal dengan pantang larang nenek moyang terutama dalam kalangan warga emas. Pantang larang secara mudahnya adalah perkara yang ditegah untuk dilakukan. Ia bukan perkara baru bahkan sudah lama dan diwarisi secara turun temurun.

Walaupun masyarakat moden hari ini tidak lagi mempedulikan tentang pantang larang, namun masih ada yang berpegang teguh dengan adat-adat Melayu. Ibu-ibu muda juga ada yang masih mempercayai dan mematuhi pantang larang tersebut.

Benarkah segala pantang larang tersebut ataupun sebenarnya hanya mitos?

Sebenarnya pantang larang itu adalah untuk memberikan nasihat dan menjaga adab tatasusila orang Melayu. Orang tua-tua suka berkias ketika hendak menegur kesilapan orang-orang muda, lalu wujudlah pantang larang ini.

Masih ingatkah anda pada pantang larang yang pernah popular suatu ketika dahulu? Saya kongsikan antara pantang larang ketika berada di dapur:

1. Jangan biarkan pinggan kering lepas makan, nanti rezeki tak masuk.

Perasan tak kalau lambat mencuci pinggan selepas makan akan membuatkan sukar untuk pinggan tersebut dibasuh? Itulah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh orang dulu-dulu. Selepas makan, adalah lebih baik untuk kita segera mencucinya dengan bersih.

2. Kalau makan nasi kena habiskan, kalau tidak nasi akan menangis.

Bolehkah nasi itu menangis? Nasi pun punya perasaan?

Sebenarnya pantang larang ini wujud kerana orang dulu-dulu tidak mahu nasi yang ada dibazirkan. Jadi nasi yang sudah ada di dalam pinggan perlu dihabiskan. Bak kata iklan beras di televisyen, “Sebiji beras ibarat setitis peluh petani. Hargailah jasa mereka.”

3. Anak dara jangan menyanyi di dapur, nanti kahwin dengan orang tua.

Pantang larang ini pula sebenarnya untuk mengelakkan masakan hangus kerana leka menyanyi. Ada juga pendapat yang mengatakan untuk mengelakkan tercedera ketika memotong makanan jikalau asyik menyanyi. Mungkin kita boleh tukarkan dengan berselawat. Pasti makanan yang dimasak menjadi lebih berkat.

4. Jangan makan pindah-pindah tempat nanti banyak suami.

Kalau berpindah sehingga sepuluh tempat yang berbeza bagaimana pula?

Sebenarnya pantang larang ini adalah untuk menegur supaya apa yang kita makan tidak bersepah di merata-rata tempat. Jikalau kita asyik makan berpindah pindah tempat, kemungkinan nasi akan jatuh ataupun kuah akan tertumpah. Ini akan menyusahkan kita untuk membersihkannya.

5. Jangan menatang pinggan ketika makan, nanti suami mudah cari yang lain.

Kalau diikutkan logik akal, macam tiada kena mengena antara pinggan dan suami, bukan? Sebenarnya ia satu teguran daripada warga tua kepada warga muda.

Makan sambil menatang (mengangkat) pinggan ketika makan dilihat kurang sopan terutama kepada anak gadis. Jadi bagi mengelakkan anak gadis menatang pinggan, tercetus pantang larang ini. Bukan untuk menakutkan sekadar mengajar tentang adab secara tidak langsung.

Orang Melayu bukankah penuh dengan adab dan kesopanan? Justeru pantang larang ini semua adalah sebahagian daripada gaya hidup orang dulu-dulu. Mereka mengajar nilai-nilai kesopanan melalui tegahan-tegahan berbentuk kiasan.

Unik sungguh cara yang mereka pilih untuk menegur. Berbanggalah kita dengan nilai-nilai kesopanan yang wujud hari ini, mungkin ini adalah daripada jasa-jasa mereka mendidik kita dengan cara halus dan berhikmah.

Teks: Syazana Syamsul

Serbuk Halia Mampu Mengelakkan Risiko Kanser Ovari

5 Gerai Keropok Lekor Wajib Singgah di Terengganu