Blog

5 Kuih Yang Masyhur Di Negeri Cik Siti Wan Kembang

Kelantan ataupun lebih dikenali dengan negeri Cik Siti Wan Kembang, tidak boleh dinafikan lagi antara negeri yang kaya dengan makanan.

Baik dari segi lauk pauk mahupun manisan. Aneka makanan dan manisannya sentiasa menjadi pilihan orang luar negeri dan juga rakyatnya sendiri.

Kalau hendak disenaraikan, banyak sekali senarai kuih yang ada. Jadi, sebagai panduan untuk orang ramai mengetahui kuih yang terkenal di Kelantan, saya akan senaraikan lima jenis kuih untuk pengetahuan anda.

1. Cek Mek

Foto: Google
Foto: Google

Sebut sahaja Cek Mek, pasti ramai yang terbayang keenakannya apatah lagi sekiranya dimakan secara panas-panas. Gandum dan ubi keledek ataupun lebih dikenali dengan ubi setelor oleh rakyat Kelantan adalah bahan yang diperlukan untuk kuih ini.

Mungkin nampak ringkas tetapi ia cukup menambat hati mereka yang gemarkan manisan. Apabila dimakan, gula yang ada dalam Cek Mek akan mencair di dalam mulut.

2. Puteri Mandi

Foto: Google
Foto: Google

Jangan ada yang salah faham dengan nama kuih ini. Saya tidak boleh menyatakan asal usul namanya kerana terlalu banyak versi yang ada, belum tentu yang mana sahihnya.

Selalunya kuih ini akan dicari orang ramai apabila tiba bulan puasa. Warna-warna yang bermacam seperti kuning, merah, hijau dan sebagainya boleh menambat selera, terutama pada bulan Ramadan.

3. Tahi Itik

Foto: Google
Foto: Google

Kuih-kuih di Kelantan memang mempunyai nama yang agak pelik. Jadi jangan terkejut apabila pergi ke pasar dan mendengar ada orang ingin membeli tahi itik. Ia adalah halal untuk dimakan ya. Walaupun kuih ini kurang digemari oleh anak muda sekarang, namun kemasyhurannya sebagai kuih tradisi masyarakat Kelantan masih kekal.

Kenapa dipanggil Tahi Itik? Ini kerana, kuih yang dibuat daripada putih telur dan santan serta disira dengan air gula, ditempek-tempek seperti tahi itik. Kalau hendak tahu bagaimana rasanya, cubalah cari di kedai.

4. Lompat Tikam

Foto: Google
Foto: Google

Tidak seperti kuih lain yang kebanyakannya bermusim, lompat tikam sentiasa boleh didapati di pasar-pasar tani, pasar pagi, dan gerai-gerai. Pulutnya yang merah, dan adunan tepung berwarna hijau, serta dicampur santan dan air gula melaka pasti menambah keenakan.

Ia sinonim untuk makan petang ataupun untuk dijadikan juadah berbuka puasa. Kuih ini lebih senang didapati berbanding kuih Tahi Itik.

5. Nasi Manis

Foto: Google
Foto: Google

Kalau di negeri lain mungkin kuih ini dikenali sebagai wajik. Tetapi di negeri Cik Siti Wan Kembang, ia lebih dikenali sebagai Nasi Manis ataupun Pulut Pagi.

Pada kebiasaannya kuih manisan ini selalu dijadikan sebagai pemberian semasa majlis perkahwinan dan kenduri arwah. Bagi orang Kelantan juga, Pulut Pagi sangat dicari untuk dijadikan sarapan pagi. Pulut ini dimakan dengan kelapa parut.

Teks: Nor Fatin Amira Salleh

Siapa Kata Negeri Serambi Mekah Tiada Tempat Hipster

Ini Caranya Untuk Elak daripada Menangis Ketika Di Dapur